Pengikut

Isnin, 6 Februari 2012

Pengalaman Menyerahkan Puteraku untuk ditarbiahkan.

Assalamualaikum..
Mengingat kembali Maulidurrasul yg baru saja berlalu, aku seakan tersedar. Puteraku yang sulung sudah lima bulan belajar di Madrasah. Alhamdulillah semangatnya untuk mendalami ilmu Allah semakin tebal dan kental. Sebagai ibu, kemanisan demi kemanisan tercipta setelah mujahadah berpisah dengan puteraku berjaya ku harungi. Setiap minggu aku begitu ghairah untuk bertemu Adib buah hati pertamaku. Berita gembira buatku apabila dia berjaya menghafal sehelai demi sehelai Kalam Allah. Hatiku akan tehibur tatkala mendengar ayat yang dibacakan dihadapanku. Mahu sahaja ikut serta menghafal dalam kelas bersamanya.

Mengimbas kenangan sewaktu membawanya untuk temuduga. Sehari sebelum Ramadhan tahun lepas, merupakan hari bersejarah. Sepanjang perjalanan ke Madrasah memang tak putus-putus berdoa agar Allah memilihnya menjadi salah seorang pelajar di Madrasah itu. Bukan tidak ada madrasah lain. Tetapi madrasah yang kami pilih ini adalah yang terbaik pernah kami dengar. Khabarnya madrasah ini dibina sepenuhnya hasil titik peluh ayah kepada Mudir sekarang. Tiada akademik, tp cukup hebat pentarbiahan daripada ustaz-ustaz yang tidak kenal jemu mengajar ilmu agama.  

Selepas temuduga, keputusan akan diberitahu kemudian. Setiap hari menanti penuh debaran sambil tidak putus berharap padaNya agar putera kami berjaya. Sebenarnya kami berhasrat untuk mendaftarkan kedua-dua putera kami serentak.

Tibalah hari yang dinanti-nantikan apabila sms suamiku diterima pagi itu agar kami Tawajjuh pada Allah disamping melaksanakan Solat Dhuha di tempat kerjaku memohon berita gembira buat kami. Namun ustaz yang arif menilai membenarkan Adib mendaftar dahulu. Aiman, putera bongsu memang perwatakannya agak manja. Mungkin belum mampu untuk berdikari buat masa ini. Tambahan pula kesediaannya juga belum benar-benar mantap. Menitis airmataku apabila panggilan suamiku memberitahu khabar gembira sebelum Zuhur. Bersyukur doa kami diterima.

Genap 5.9.2011 kami menghantarnya ke Madrasah. Walaupun kesedihan menyelubungi hatiku kerana terpaksa berpisah dengan Adib yang baru berusia 10 tahun, namun keghairahan kami menghantarnya benar2 membenamkan kesedihan itu. Ternyata Adib sangat gembira. Air mata seorang ibu saat perpisahan benar-benar tidak dapat dibendung walaupun berkali-kali suamiku mengingatkan agar aku tabah dan gembira dengan pendaftarannya. "Kita bukan menghantarnya kepada sekolah ini, tetapi kita sedang menghantarnya untuk Allah tarbiahkan." Itulah pesan suamiku setiap kali airmataku tumpah. Melihat beg besarnya sahaja mataku sudah berkaca.

Aku peluk erat-erat puteraku seakan sukar untuk melepaskannya. Saat itu begitu mujahadah untuk melawan perasaan sayu. Adib juga menangis hiba walaupun hatinya memang sudah terpaut di Madrasah itu. Cepat-cepat kami meninggalkan Adib kerana aku bimbang jiwaku yang lemah akan mempengaruhi keputusan kami menghantarnya ke madrasah. Aiman juga ku lihat menangis sepanjang perjalanan balik. Aku tahu suamiku juga sedang melindungi kesedihan nya.

Selama 2 minggu kami berpisah. Itu pesan ustaz pada kami. Tiada talian telefon menghubungkan kami. Setiap kali berseorangan, naluri ibuku meronta-ronta minta bertemu Adib. Mujurlah suamiku amat memahami. Hanya doa bertali arus menghubungkan kami. Ku titip rindu di angin yang bertiup. Sampaikan salam rindu bonda buat putera tercinta.

Tempoh 2 minggu telah tiba. hatiku girang dan amat teruja. mahu saja selepas subuh aku berpaut di pintu pagar Madrasah. Biar Adib tahu ibunya juga amat merinduinya. Pagi-pagi lagi aku sudah memasak. Kami membawa bekal nasi dan lauk untuk dimakan bersama. Ketika menyuapkan nasi ke mulutnya, alangkah bahagianya hatiku. Bagai bertahun lamanya tidak bertemu. Adib sedikit kurus kerana demam seminggu. Hatiku pilu kerana buat pertama kalinya Adib demam tanpa ditemani ibunya. Aku menangis dalam hati. Dugaan pertama buat Adib dan ibunya.

Bermula detik itu, setiap minggu kami sekeluarga menjenguknya. Tiada lagi air mata menemaniku.  Terasa lambatnya waktu berlalu untuk sampai ke Sabtu berikutnya. Setiap minggu aku berkira-kira mahu memasak juadah apa pula kali ini. Biar Adib makan puas-puas air tangan ibunya. Sambil makan, kami akan berbual-bual bertanyakan perkembangan pelajarannya.

Perwatakan Adib semakin lembut. Pandangannya ditundukkan setiap kali berbual. Amat berbeza dengan sebelumnya. Suaranya dan butir bicaranya juga berhati-hati. Amat sejuk dan redup wajahnya. Semakin aku memandangnya semakin tebal rindu ini. Ku lihat kanak2 lain di Madrasah itu juga sepertinya. Amat tertib dan menenangkan jiwa yang memandangnya. Mungkin inilah kesan tarbiah dan makanan yang amat terjaga sumbernya.

Hari-demi hari, kematangannya mula terbit. Adib sudah pandai menjaga barang dan membasuh baju sendiri. Hari ini sudah 3 Surah telah dihafal setelah berjaya menghabiskan pelajaran Iqra’ 1-6. Alhamdulillah. Sebagai ibu hatiku benar-benar bahagia kini. Doaku agar Aiman terpilih mengikuti jejak abangnya tahun hadapan. Perkataan yang menjadi azimatku sehingga kini “Di dunia berpisah kerana Allah, mudah-mudahan Allah satukan kami di Syurga Firdausi.”

Kepada sahabat-sahabat yang ingin mempunyai keinginan untuk mengikuti jejakku…ayuh jangan toleh ke belakang. Sediakan anak-anak seawal mungkin agar bila tiba masanya kelak, hatinya benar-benar bersedia untuk belajar. Pastikan bacaan AlQur’an benar-benar lancar sebelum melangkah masuk ke madrasah agar mudah untuknya menghafal nanti. Jangan mengalah pada ujian. Allah akan menguji kita tanda kecintaan pada hambaNya. Sabarlah kerana di dunia ini juga nanti Allah beri kemanisan selepas bermujahadah.

Kisah ini bukan tujuan berbangga-bangga, tetapi untuk membakar semangat ibu-ibu dan bapa-bapa agar menghantar anak belajar menjadi hafiz, alim dan daei akhir zaman penyambung lidah nabi.

Salam maulidurrasul.



4 ulasan:

  1. Assalamualaikum kak,
    Allahuakhbar, berlinang air mata umu baca coretan kisah akak berpisah dengan anak. Dulu umu x tahu perasaan seorang ibu, kini setelah genap sebulan bergelar ummi baru umu tahu erti sebenar "sayang" seorang ibu kepada anak2nya. Mohon doakan umu dapat setabah akak bila menghantar anak ke madrasah kelak > walaupun masanya sangat jauh lagi :)

    BalasPadam
  2. Waalaikumsalam umu..
    Tahniah umu dah jadi ibu. Moga ibu dan baby sentiasa sihat. Baby umu lelaki ke perempuan? Boleh akk tahu siapa namanya?
    Coretan akk sekadar apa yang akak alami. Mudah-mudahan sesiapa yang membacanya akan mempersiapkan diri dengan dugaan yang bakal mendatang. Akak sentiasa berdoa agar pendidikan bukan akademik menjadi pilihan utama ibubapa akhir zaman. aminnnn.

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum kak,terharunya membaca karkuzari tentang anak akak,ina pun sedang mempersiapkan putera pertama ina Muhammad Nur Nasuha.doakan untuk ina sekeluarga.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Insyaallah Ina. Kita sebagai ibu harus persiapkan putera kita untuk jadi Daei pejuang akhir zaman kerana fitnah zaman mereka lagi dahsyat daripada zaman kita ini. Akk juga berdoa agar Allah mengurniakan kami anak perempuan untuk kami persiapkan menjadi srikadi @ isteri2 para daei kita nanti.

      Padam


Mengenai Saya

Foto saya
Penang, Malaysia
Menjadi wanita solehah akhir zaman adalah idamanku dan keampunan Allah kudambakan selalu. semoga semangatku untuk menjadi daei akan terlaksana