Pengikut

Isnin, 6 Februari 2012

Pengalaman Menyerahkan Puteraku untuk ditarbiahkan.

Assalamualaikum..
Mengingat kembali Maulidurrasul yg baru saja berlalu, aku seakan tersedar. Puteraku yang sulung sudah lima bulan belajar di Madrasah. Alhamdulillah semangatnya untuk mendalami ilmu Allah semakin tebal dan kental. Sebagai ibu, kemanisan demi kemanisan tercipta setelah mujahadah berpisah dengan puteraku berjaya ku harungi. Setiap minggu aku begitu ghairah untuk bertemu Adib buah hati pertamaku. Berita gembira buatku apabila dia berjaya menghafal sehelai demi sehelai Kalam Allah. Hatiku akan tehibur tatkala mendengar ayat yang dibacakan dihadapanku. Mahu sahaja ikut serta menghafal dalam kelas bersamanya.

Mengimbas kenangan sewaktu membawanya untuk temuduga. Sehari sebelum Ramadhan tahun lepas, merupakan hari bersejarah. Sepanjang perjalanan ke Madrasah memang tak putus-putus berdoa agar Allah memilihnya menjadi salah seorang pelajar di Madrasah itu. Bukan tidak ada madrasah lain. Tetapi madrasah yang kami pilih ini adalah yang terbaik pernah kami dengar. Khabarnya madrasah ini dibina sepenuhnya hasil titik peluh ayah kepada Mudir sekarang. Tiada akademik, tp cukup hebat pentarbiahan daripada ustaz-ustaz yang tidak kenal jemu mengajar ilmu agama.  

Selepas temuduga, keputusan akan diberitahu kemudian. Setiap hari menanti penuh debaran sambil tidak putus berharap padaNya agar putera kami berjaya. Sebenarnya kami berhasrat untuk mendaftarkan kedua-dua putera kami serentak.

Tibalah hari yang dinanti-nantikan apabila sms suamiku diterima pagi itu agar kami Tawajjuh pada Allah disamping melaksanakan Solat Dhuha di tempat kerjaku memohon berita gembira buat kami. Namun ustaz yang arif menilai membenarkan Adib mendaftar dahulu. Aiman, putera bongsu memang perwatakannya agak manja. Mungkin belum mampu untuk berdikari buat masa ini. Tambahan pula kesediaannya juga belum benar-benar mantap. Menitis airmataku apabila panggilan suamiku memberitahu khabar gembira sebelum Zuhur. Bersyukur doa kami diterima.

Genap 5.9.2011 kami menghantarnya ke Madrasah. Walaupun kesedihan menyelubungi hatiku kerana terpaksa berpisah dengan Adib yang baru berusia 10 tahun, namun keghairahan kami menghantarnya benar2 membenamkan kesedihan itu. Ternyata Adib sangat gembira. Air mata seorang ibu saat perpisahan benar-benar tidak dapat dibendung walaupun berkali-kali suamiku mengingatkan agar aku tabah dan gembira dengan pendaftarannya. "Kita bukan menghantarnya kepada sekolah ini, tetapi kita sedang menghantarnya untuk Allah tarbiahkan." Itulah pesan suamiku setiap kali airmataku tumpah. Melihat beg besarnya sahaja mataku sudah berkaca.

Aku peluk erat-erat puteraku seakan sukar untuk melepaskannya. Saat itu begitu mujahadah untuk melawan perasaan sayu. Adib juga menangis hiba walaupun hatinya memang sudah terpaut di Madrasah itu. Cepat-cepat kami meninggalkan Adib kerana aku bimbang jiwaku yang lemah akan mempengaruhi keputusan kami menghantarnya ke madrasah. Aiman juga ku lihat menangis sepanjang perjalanan balik. Aku tahu suamiku juga sedang melindungi kesedihan nya.

Selama 2 minggu kami berpisah. Itu pesan ustaz pada kami. Tiada talian telefon menghubungkan kami. Setiap kali berseorangan, naluri ibuku meronta-ronta minta bertemu Adib. Mujurlah suamiku amat memahami. Hanya doa bertali arus menghubungkan kami. Ku titip rindu di angin yang bertiup. Sampaikan salam rindu bonda buat putera tercinta.

Tempoh 2 minggu telah tiba. hatiku girang dan amat teruja. mahu saja selepas subuh aku berpaut di pintu pagar Madrasah. Biar Adib tahu ibunya juga amat merinduinya. Pagi-pagi lagi aku sudah memasak. Kami membawa bekal nasi dan lauk untuk dimakan bersama. Ketika menyuapkan nasi ke mulutnya, alangkah bahagianya hatiku. Bagai bertahun lamanya tidak bertemu. Adib sedikit kurus kerana demam seminggu. Hatiku pilu kerana buat pertama kalinya Adib demam tanpa ditemani ibunya. Aku menangis dalam hati. Dugaan pertama buat Adib dan ibunya.

Bermula detik itu, setiap minggu kami sekeluarga menjenguknya. Tiada lagi air mata menemaniku.  Terasa lambatnya waktu berlalu untuk sampai ke Sabtu berikutnya. Setiap minggu aku berkira-kira mahu memasak juadah apa pula kali ini. Biar Adib makan puas-puas air tangan ibunya. Sambil makan, kami akan berbual-bual bertanyakan perkembangan pelajarannya.

Perwatakan Adib semakin lembut. Pandangannya ditundukkan setiap kali berbual. Amat berbeza dengan sebelumnya. Suaranya dan butir bicaranya juga berhati-hati. Amat sejuk dan redup wajahnya. Semakin aku memandangnya semakin tebal rindu ini. Ku lihat kanak2 lain di Madrasah itu juga sepertinya. Amat tertib dan menenangkan jiwa yang memandangnya. Mungkin inilah kesan tarbiah dan makanan yang amat terjaga sumbernya.

Hari-demi hari, kematangannya mula terbit. Adib sudah pandai menjaga barang dan membasuh baju sendiri. Hari ini sudah 3 Surah telah dihafal setelah berjaya menghabiskan pelajaran Iqra’ 1-6. Alhamdulillah. Sebagai ibu hatiku benar-benar bahagia kini. Doaku agar Aiman terpilih mengikuti jejak abangnya tahun hadapan. Perkataan yang menjadi azimatku sehingga kini “Di dunia berpisah kerana Allah, mudah-mudahan Allah satukan kami di Syurga Firdausi.”

Kepada sahabat-sahabat yang ingin mempunyai keinginan untuk mengikuti jejakku…ayuh jangan toleh ke belakang. Sediakan anak-anak seawal mungkin agar bila tiba masanya kelak, hatinya benar-benar bersedia untuk belajar. Pastikan bacaan AlQur’an benar-benar lancar sebelum melangkah masuk ke madrasah agar mudah untuknya menghafal nanti. Jangan mengalah pada ujian. Allah akan menguji kita tanda kecintaan pada hambaNya. Sabarlah kerana di dunia ini juga nanti Allah beri kemanisan selepas bermujahadah.

Kisah ini bukan tujuan berbangga-bangga, tetapi untuk membakar semangat ibu-ibu dan bapa-bapa agar menghantar anak belajar menjadi hafiz, alim dan daei akhir zaman penyambung lidah nabi.

Salam maulidurrasul.



Sabtu, 26 Februari 2011

Warkah buat abah

      Assalamualaikum abah.. moga abah sihat di samping emak di Selangor. Terpanggil untuk mencoretkan warkah ini buat abah, tatkala melihat foto abah dalam simpanan laptop ni. Redupnya wajah abah. Terima kasih kerana sudi membesarkan anakmu ini. Abah tak pernah marah, jauh sekali memukul kami. Abah memang kelakar dan suka berseloroh. Waktu kecil dulu apabila kami bergaduh adik beradik.. abah akan suruh kami mandi. Kalau kami berdegil dan masih bergaduh.... alamatnya baju kami kuyup dengan simbahan air sebaldi. Kami tak faham maksud abah. Rupanya abah tegur kami dengan hikmah. abah takkan marahkan kami bergaduh. Abah nak kami bersatu hati dan sejukkan badan apabila marah. Dalam keluarga abahlah yang paling kuat mandi. Abah kata mandi itu ubat segala penyakit.

      Waktu-waktu terluang, abah ajar kami bacaan dalam sembahyang. Kami ikut abah sebut. Tapi abah tak bagitau pun itu adalah bacaan dalam sembahyang. Abah cuma suruh kami bersembahyang dengan mak. Apabila aku masuk darjah 1, ustaz ajar sembahyang dan bacaan dalam sembahyang. Baru aku sedar abah dah ajarkan kami sebelum ni. Memang senanglah. Dah hafal pun...

     Abah.. dalam diam aku amat menyanjungi abah. Sama macam aku sanjung dan sayangkan emak. Abah cintakan masjid. Kalau ada kilat dan hujan pun seboleh-bolehnya abah pergi juga menunaikan sembahyang di masjid. Cuma sekali sekala aku terjaga awal pagi, terpandang abah sedang solat dan bergegas ke masjid sebelum azan Subuh sayup berkumandang. Aku tahu abah buat Solat Tahajjudkan?.... Abah insan penyabar. Banyak sekali dugaan abah. Abah kurang bercerita tentang kesusahan itu. Aku tahu..disebalik wajah riang abah, tersimpan seribu rahsia. Cuma sekali sekala abah bersuara. mungkin terlalu sedih dan ingin berkongsi denganku. Aku tahu ada orang yang tak senang tengok abah iktikaf di masjid. Abah pernah bercerita ada hamba Allah kacau abah masa abah sembahyang sunat. Aku tak pernah lupa pesan abah. Abah kata " kalau ada orang buat kita, kita jangan balas balik. Kalau kita balas balik, kita sama je dengan org tersebut." 

      Abah...masih segar petua abah tatkala kami mengadu susah. Abah kata "Tahajjud", "Isyra'", "sembahyang 2 rakaat". Tapi waktu itu kami abaikan pesan abah. Kami tak buat pun. Abah ingat tak ? kalau anak-anak menangis, abah bagi duit. 20sen, 30 sen.. bila abah loaded sikit abah bagi seringgit...dapat duit hilang sedih. terus ketawa. abah pun akan ketawa juga....

      Satu perkara aku tak lupa apabila aku bagitau abah yang aku dapat nombor 7 dalam kelas darjah 4. Abah bangga. abah kata sebab aku anak Tabligh. Abah memang sempoi...

     Abah,
    Ampunkan dosa kami adik beradik. Sekarang semua dah berumahtangga. Duduk jauh-jauh. Tinggal mak dengan abah saja. Mujurlah Uyun dan Salam ada. Bukan kami tak ingat dan niat nak berumah dekat dengan abah. Tapi ketentuan Allah tiada siapa dapat mengubahnya. Jodoh anak abah di negeri orang. Cuma azamku suatu hari nanti akan pulang ke pangkuan abah. Abah, kami takkan lupa jasa abah.    

      Abah, tentu sekarang abah lega sebab anak abah yang satu ini telah turut serta dalam perjuangan abah. Aku dan suami akan bantu abah untuk hidupkan amalan Taalim di kampung. Mak, uyun dan salam akan bantu abah buat usaha yang abah dah mulakan 30 tahun dulu lagi. Mak dan Uyun akan sertai abah untuk Jemaah Masturat.  Aku janji abah.
  
       Akhir sekali, doaku buat abah dan emak dipanjangkan umur, dimurahkan rezki dan ditempatkan di kalangan salafussoleh... aminnn


  Yang dhaif ,
  Anakandamu,
  Pulau Pinang
  1:40 pagi

Putera kecilku mengenali usaha dakwah

Assalamualaikum.. minggu ini suami keluar 3 hari. Alhamdulillah sekali lagi dia terpilih untuk keluar di jalan Allah. Sesungguhnya sayalah isteri yang beruntung kerana dapat pahala free apabila benarkan dan galakkan suami keluar di jalan Allah. Dalam hati turut berdoa agar saya dimasukkan 500 tahun lebih awal untuk disolekkan dan bakal menyambut suami tercinta di pintu syurga. Hehehe pasti dia tak kenal isterinya dah berubah jadi si cantik manis 17. Wow!! tak dapat bayangkan mulutnya terlopong tanda terkezzzzutttt apabila disambut seorang wanita muda yang telah rapi didandan oleh bidadari syurga.. (hmm cukuplah setakat ini angan-angan saya).
          Lebih manis kali ini suamiku membawa putera sulung kami yang baru berusia 10 tahun keluar ke jalan Allah. Semoga di usia mudanya sudah ada kerut di dahi fikir dan risaukan umat akhir zaman yang telah jauh dari Islam. Biarlah dia mengulangi sejarah Saidina Ali yang zaman mudanya sudah bergitu kuat usaha dakwah bersama para Sahabat yang lain.
        Wahai puteraku.. hati ibu mana yang sanggup berpisah dengan anak-anaknya. Namun ibu amat redha dan bangga apabila (anak ibu) insan semudamu sudah menawarkan diri untuk turut serta dalam perjuangan ayahmu. Pergilah nak... kutiplah sebanyak mungkin ilmu yang diajarkan. Rasailah kemanisan ibadahmu dalam perjuangan ini. Ibu membayangkan betapa dasyat cabaran yang mendatang di zaman remajamu. Hanya hamba yang ikut cara nabi dan sebarkan dahwah sahaja yang mampu berdepan dengan situasi mendatang.
      Di dunia kita jarang bertemu, moga Allah satukan kita sekeluarga di syurga...aminnnnn

Sabtu, 19 Februari 2011

KEJAYAAN MANUSIA DALAM AGAMA: Purdah

KEJAYAAN MANUSIA DALAM AGAMA: Purdah: "Assalamualaikum... sahabat-sahabatku yang bergelar guru atau profesion lain. Ingin sekali ku lontarkan persoalan ini. Silalah berkongsi pen..."

KEJAYAAN MANUSIA DALAM AGAMA: IKRAM SAUDARA BARU YANG DILUPAKAN

KEJAYAAN MANUSIA DALAM AGAMA: IKRAM SAUDARA BARU YANG DILUPAKAN: "Assalamualaikum.. Alhamdulillah saya masih bernafas hingga detik ini. Rezki Allah melimpah ruah. Kerana RahmatNya, kita tak perlu bayar udar..."

Jumaat, 18 Februari 2011

IKRAM SAUDARA BARU YANG DILUPAKAN

Assalamualaikum..
Alhamdulillah saya masih bernafas hingga detik ini. Rezki Allah melimpah ruah. Kerana RahmatNya, kita tak perlu bayar udara bersih yang kita hirup. Allah bagi free. Nikmat inilah yang patut kita syukuri.
        Berkenaan dengan tajuk di atas, ingin saya berkongsi cerita dengan rakan di luar sana. Harap fikir dan risau kita jadi asbab Hidayah Allah pada semua manusia. Hari ini kita gembira apabila seorang hamba Allah masuk Islam. Kita bangga dengan usaha kita yg tak seberapa... Allah bagi hidayah pada orang bukan Islam memeluk agama Islam. Maka kita bantu dia untuk dapatkan nama Islam yang cukup baik maknanya. Alhamdulillah. Moga nama baru itu akan jadi doa buat saudara baru kita.
       Saya dengan ketentuan Allah telah berpindah ke tempat kerja yang baru. Mulanya rasa macam nak menangis apabila masuk ke ruang legar.. sudah ada patung mariam dan anaknya (patung kristian). Bila diamati.. patung ini amat dijaga kerana duduk dalam almari kaca dan sentiasa digilap cerminnya. Pada asalnya sekolah ini memang sekolah Mubaligh. Tetapi sekarang dah jadi Sekolah Kebangsaan..
       Kebimbangan mula terasa.. berapa ramaikah guru muslim di sini? masa tu belum buat Usaha Dakwah. Cuma risau, takut dan bimbang iman yang setipis kulit bawang ni akan semakin terhakis. Hari pertama bekerja di tempat baru memang kekok. Maklum sajalah tak kenal maka tak mesra. Sebahagian besar murid di sini bukan Islam. Malah masih ada bilik yang dikhaskan utuk penganut kristian dengan dijaga oleh seorang makcik (paderi). Balik rumah mengadu pada suami. Kenapa dapat tempat kerja yang takde suasana Islam.
     Suami pujuk.."mungkin Allah pilih ayang untuk jaga murid Islam di sana.." alamak? Saya ker? saya bukan ustazah? Ilmu pun takde..sekadar pandai sembahyang, puasa dan tutup aurat jer.
     Hari demi hari berlalu.. suatu hari saya dapat tahu ada seorang guru ni adalah saudara baru. Ciri-ciri sebagai orang Islam memang tak nampak. Beliau juga masih guna nama lama (bukan nama Islam) sebagai nama panggilannya. Saya dapat tahu pun apabila ada guru lain beritahu. Dia memeluk Islam sejak berkahwin lagi. Kalau tak silap anak sulungnya sudahpun berusia 15 tahun. Maksudnya dia sudah Islam 15 tahun dulu (bukan saudara barulah kan).
      Hari ini atas kasih sayang Allah, saya terpilih untuk buat Usaha Dakwah. Sebelum ni tak ambil kisah pun apa nak jadi dengan orang lain. Yang penting diri sendiri selamat!!!! Sedikit demi sedikit saya dan suami mula ada kesedaran untuk risau iman diri dan iman orang lain. Alhamdulillah Allah beri kekuatan untuk amal perintah Allah dan baharui iman setiap hari.
     Hari ini juga saya mula risau dan takut. Takut Allah murka. Takut azab Allah. Semua ketakutan ini semakin hari semakin menebal kerana saya tak mampu bawa seorang Islam untuk dekat dengan Agama. Saya bimbang di akhirat kelak Allah soal kenapa saya tak bimbing dia untuk taat perintah Allah dan tutup aurat. Saya takut asbab ini akan memudahkan saya dihumban ke neraka. wahai Allah, sesungguhnya aku tidak layak untuk syurgaMu, tapi aku tidak mampu menanggung siksa nerakaMu. Terimalah taubatku.. ampunkanlah dosaku, dosa kedua ibu bapaku dan dosa sekalian umat Islam. 
    Kepada semua pembaca yang ada fikir dan risau akan hal ini, bantulah saya dengan doa agar saya diberi kekuatan untuk amal agama dan dapat ikram serta bimbing saudara baru kita untuk taat perintah Allah. Sesungguhnya saya hanyalah insan dhaif yang tak punya apa-apa ilmu. Hanya lakukan apa yang termampu.
    Ini hanyalah secebis kisah saudara baru. Entah berapa ramai lagi Saudara Baru di luar sana yang kita abaikan. Tugas kitalah sebagai orang Islam untuk bantu mereka. Bukankah begitu?

Selasa, 15 Februari 2011

Purdah

Assalamualaikum... sahabat-sahabatku yang bergelar guru atau profesion lain. Ingin sekali ku lontarkan persoalan ini. Silalah berkongsi pengalaman untuk aku bina kekuatan mengenakan purdah kerana aku amat bimbang impak kepada kerjayaku sebagai guru..dan aku belum ada kekuatan untuk berdepan dengan semua cabaran mendatang.    
          Aku sering melihat cahaya di wajah org yang berpurdah tatkala mereka menanggalkan hijab semasa majlis Taalim. Rasa rindu dan ingin jadi sebahagian dari mereka. Malangnya rata2 mengatakan mereka adalah surirumah sepenuh masa. Rasa frust la pulak sebab aku masih berkerjaya. Sesiapa yg ada pengalaman mula memakai purdah ke tempat kerja..tolonglah kongsi. Agar azam ini akan dapat dizahirkan.

Mengenai Saya

Foto saya
Penang, Malaysia
Menjadi wanita solehah akhir zaman adalah idamanku dan keampunan Allah kudambakan selalu. semoga semangatku untuk menjadi daei akan terlaksana