Assalamualaikum abah.. moga abah sihat di samping emak di Selangor. Terpanggil untuk mencoretkan warkah ini buat abah, tatkala melihat foto abah dalam simpanan laptop ni. Redupnya wajah abah. Terima kasih kerana sudi membesarkan anakmu ini. Abah tak pernah marah, jauh sekali memukul kami. Abah memang kelakar dan suka berseloroh. Waktu kecil dulu apabila kami bergaduh adik beradik.. abah akan suruh kami mandi. Kalau kami berdegil dan masih bergaduh.... alamatnya baju kami kuyup dengan simbahan air sebaldi. Kami tak faham maksud abah. Rupanya abah tegur kami dengan hikmah. abah takkan marahkan kami bergaduh. Abah nak kami bersatu hati dan sejukkan badan apabila marah. Dalam keluarga abahlah yang paling kuat mandi. Abah kata mandi itu ubat segala penyakit.
Waktu-waktu terluang, abah ajar kami bacaan dalam sembahyang. Kami ikut abah sebut. Tapi abah tak bagitau pun itu adalah bacaan dalam sembahyang. Abah cuma suruh kami bersembahyang dengan mak. Apabila aku masuk darjah 1, ustaz ajar sembahyang dan bacaan dalam sembahyang. Baru aku sedar abah dah ajarkan kami sebelum ni. Memang senanglah. Dah hafal pun...
Abah.. dalam diam aku amat menyanjungi abah. Sama macam aku sanjung dan sayangkan emak. Abah cintakan masjid. Kalau ada kilat dan hujan pun seboleh-bolehnya abah pergi juga menunaikan sembahyang di masjid. Cuma sekali sekala aku terjaga awal pagi, terpandang abah sedang solat dan bergegas ke masjid sebelum azan Subuh sayup berkumandang. Aku tahu abah buat Solat Tahajjudkan?.... Abah insan penyabar. Banyak sekali dugaan abah. Abah kurang bercerita tentang kesusahan itu. Aku tahu..disebalik wajah riang abah, tersimpan seribu rahsia. Cuma sekali sekala abah bersuara. mungkin terlalu sedih dan ingin berkongsi denganku. Aku tahu ada orang yang tak senang tengok abah iktikaf di masjid. Abah pernah bercerita ada hamba Allah kacau abah masa abah sembahyang sunat. Aku tak pernah lupa pesan abah. Abah kata " kalau ada orang buat kita, kita jangan balas balik. Kalau kita balas balik, kita sama je dengan org tersebut."
Abah...masih segar petua abah tatkala kami mengadu susah. Abah kata "Tahajjud", "Isyra'", "sembahyang 2 rakaat". Tapi waktu itu kami abaikan pesan abah. Kami tak buat pun. Abah ingat tak ? kalau anak-anak menangis, abah bagi duit. 20sen, 30 sen.. bila abah loaded sikit abah bagi seringgit...dapat duit hilang sedih. terus ketawa. abah pun akan ketawa juga....
Satu perkara aku tak lupa apabila aku bagitau abah yang aku dapat nombor 7 dalam kelas darjah 4. Abah bangga. abah kata sebab aku anak Tabligh. Abah memang sempoi...
Abah,
Ampunkan dosa kami adik beradik. Sekarang semua dah berumahtangga. Duduk jauh-jauh. Tinggal mak dengan abah saja. Mujurlah Uyun dan Salam ada. Bukan kami tak ingat dan niat nak berumah dekat dengan abah. Tapi ketentuan Allah tiada siapa dapat mengubahnya. Jodoh anak abah di negeri orang. Cuma azamku suatu hari nanti akan pulang ke pangkuan abah. Abah, kami takkan lupa jasa abah.
Abah, tentu sekarang abah lega sebab anak abah yang satu ini telah turut serta dalam perjuangan abah. Aku dan suami akan bantu abah untuk hidupkan amalan Taalim di kampung. Mak, uyun dan salam akan bantu abah buat usaha yang abah dah mulakan 30 tahun dulu lagi. Mak dan Uyun akan sertai abah untuk Jemaah Masturat. Aku janji abah.
Akhir sekali, doaku buat abah dan emak dipanjangkan umur, dimurahkan rezki dan ditempatkan di kalangan salafussoleh... aminnn
Yang dhaif ,
Anakandamu,
Pulau Pinang
1:40 pagi